TAHAP PENGLIBATAN KESUKARELAWANAN DALAM KALANGAN PELAJAR KOLEJ KOMUNITI KOTA MARUDU (KKKMS), SABAH

  • Zariah Abd Manan
  • Canne Paul
  • Robert Kerk
Keywords: tahap penglibatan, kesukarelawanan

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti tahap Penglibatan para pelajar terhadap aktiviti-aktiviti kesukarelawanan yang dianjurkan oleh pihak institusi. Kajian ini perlu agar apa jua bentuk aktiviti atau program yang melibatkan pembangunan masyarakat yang akan dilaksanakan kelak, mampu menarik minat dan meningkatkan rasa tanggungjawab para pelajar di samping memberi nilai tambah kepada para pelajar khususnya. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti tahap penglibatan para pelajar Kolej Komuniti Kota Marudu (KKKMS) terhadap aktiviti kesukarelawanan, mengenalpasti kepuasan para pelajar Kolej Komuniti Kota Marudu (KKKMS) terhadap aktiviti kesukarelawanan, mengenalpasti sumber-sumber yang memberi maklumat mengenai aktiviti kesukarelawanan, mengenalpasti hubungkait antara sumber maklumat dengan tahap penglibatan pelajar terhadap aktiviti kesukarelawanan dan mengenalpasti hubungkait antara latar belakang responden dengan tahap penglibatan pelajar terhadap aktiviti kesukarelawanan. Data yang diperolehi telah dianalisis menggunakan SPSS 22.0. Responden kajian adalah semua pelajar semasa yang sedang mengikuti pengajian di Kolej Komuniti Kota Marudu (KKKMS) pada sesi November 2017 iaitu seramai 69 orang. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan yang menggunakan soal selidik sebagai instrumen kajian. Data yang diperolehi telah dianalisis dengan menggunakan ujian deskriptif dan korelasi. Hasil kajian menunjukkan bahawa 87% pelajar terlibat dengan aktiviti kesukarelawanan hanya dalam tempoh kurang daripada 3 bulan. Walaupun bagaimanapun, 94% pelajar berpuas hati terhadap penganjuran aktiviti kesukarelawanan tersebut kerana mereka percaya aktiviti-aktiviti kesukarelawanan yang dianjurkan oleh pihak institusi memberi nilai tambah kepada kerjaya mereka pada masa akan datang. Tahap penglibatan pelajar terhadap aktiviti kesukarelawan adalah sederhana (min=4.154). Min purata perkongsian maklumat berkenaan program kesukarelawan juga berada di tahap sederhana (min=3.763). Menerusi analisis korelasi, kajian mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara sumber maklumat kesukarelawanan dengan tahap penglibatan para pelajar iaitu (r=0.891, p<0.01). Kajian juga mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara latar belakang responden berbanding tahap penglibatan pelajar. Hanya faktor jantina yang mempunyai korelasi yang lemah (min=0.567) berbanding faktor-faktor yang lain. Hasil kajian ini telah menunjukkan bahawa para pelajar beranggapan bahawa pihak institusi memberi impak yang besar terhadap perkembangan diri mereka. Para pelajar juga bersetuju bahawa para pensyarah adalah penyebar maklumat utama bagi keterlibatan mereka dalam suatu aktiviti kesukarelawan. Para pelajar juga yakin bahawa aktiviti seumpama ini mampu memberikan nilai tambah terhadap kerjaya mereka pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, keseluruhan tahap penglibatan berada pada tahap sederhana. Oleh sebab itu, pihak institusi hendaklah memainkan peranan yang penting agar aktiviti kesukarelawanan dapat dilaksanakan berterusan dengan melibatkan semua agar mereka lebih bermotivasi dan bersedia ke alam pekerjaan yang sebenar.

Published
2019-12-19